Published by Getaran
KUALA LUMPUR – Pemburuan haram secara berleluasa di negara ini menjadi faktor utama menyebabkan Harimau Malaya semakin pupus apabila kumpulan terakhir spesis haiwan itu kini dilaporkan hanya kira-kira 150 ekor.
Lebih membimbangkan apabila jumlah haiwan itu yang direkodkan sebanyak 3,000 ekor pada 1950-an, berisiko pupus dalam hanya lima tahun jika tiada tindakan proaktif diambil untuk membendung aktiviti itu.
Justeru, atas dasar tanggungjawab untuk menyelamatkan Harimau Malaya, Yayasan Vinod Sekhar menghulurkan sumbangan bernilai RM1 juta kepada Persatuan Perlindungan Harimau (RIMAU), bagi tempoh tiga tahun akan datang.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRA Group, Datuk Dr Vinod Sekhar berkata, RIMAU adalah organisasi bukan kerajaan yang melaksanakan usaha gigih untuk pemeliharaan Harimau Malaya dan habitatnya.
“Yayasan Vinod Sekhar menyokong inisiatif murni RIMAU untuk melindungi spesies Harimau Malaya yang kini terancam,” katanya pada sidang media Majlis Sumbangan Selamatkan Harimau dan Habitatnya di sini, hari ini.
Beliau berkata, yayasan itu sebelum ini pernah menyumbang sejumlah RM300,000 bagi tujuan sama, iaitu membantu RIMAU menjalankan usaha memulihara haiwan berkenaan secara lebih agresif.
“Kami (yayasan) berharap, sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu RIMAU dalam usaha mereka mendapatkan lebih ramai renjer dan peronda hutan bagi membendung aktiviti pemburuan haram.
“Harimau Malaya adalah lambang kebanggaan negara kita, justeru kami berharap melalui inisiatif ini sedikit sebanyak dapat memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepupusan haiwan berkenaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden RIMAU, Lara Ariffin berkata, inisiatif dilaksanakan pihaknya adalah bagi mempamerkan keindahan hidupan liar dan kejadian alam semulajadi di Malaysia.
Katanya, komitmen itu juga sebagai mendidik masyarakat untuk bersama-sama berganding bahu melindungi dan menyelamatkan Harimau Malaya.
“Sebagai rakyat yang mencintai negara, usaha sama ini pastinya dapat menyelamatkan warisan kita.
“Tindakan segera diambil dapat membantu usaha murni yang dilaksanakan RIMAU,” katanya.
Menurutnya, program seumpama itu akan diteruskan pada masa depan demi kelangsungan haiwan berkenaan.
“Semua pihak termasuk NGO lain turut memainkan peranan bagi mencapai matlamat membendung masalah ancaman harimau Malaya di Malaysia.
“Kami amat berharap lebih ramai pihak, sama ada individu perseorangan, badan korporat atau NGO tampil menyokong inisiatif ini,” katanya. – Getaran, 4 Mac 2022.